Thursday, October 15, 2009

Bapa Saudaraku Yang Banyak Berjasa

Mazlan Bin Haji Mohamed @ Ayahlong

Ayahlong adalah bapa saudaraku yang paling garang. Itulah yang aku tahu masa aku mula-mula aku kenal siapa itu ayahlong. Rasanya genetik daripada Tok Abah yang memang terkenal garangnya. Sifat garang Ayahlong itu telah disalahguna terutamanya Mak Ngah untuk menakut-nakutkan anak-anak saudara terutamanya Nyai.

Walaupun garang, bila Ayahlong pelawa aku untuk tidur di rumahnya (masa tu kat Kompleks Penghulu, Bakri Batu 5) aku ikut juga. Pengalaman pertama tidur di rumah Ayahlong ialah sebenarnya tak boleh tidur sebab Ayahlong berdengkur, masyaallah kuatnya. Aku tanya Mak Long, boleh ke tidur dengan Ayahlong? Mak Long kata dah biasa.

Biasanya kalau ikut Ayahlong mesti ada kerja yang kena buat. Aku pernah ikut pergi cucuk ayam, tengok Ayahlong seluk bontot lembu, tanam sayur kat Kompleks, bersihkan dusun durian dan macam-macam lagi. Tapi satu lagi sifat yang diwarisi daripada Tok Abah ialah kalau kena buat kerja mesti dapat makan sedap-sedap. Masa tu apa sahaja pun sedap. Masa tu kalau pergi rumah Ayahlong selalu ada lauk ayam. Ayahlong kata kalau kat rumah Ayahlong kalau makan lauk ayam maknanya Ayahlong tak ada duit.

Satu lagi pengalaman menarik aku dengan Ayahlong semasa aku lepas SPM tahun 1987. Ayahlong ajak aku pergi ke Pontian. Ayahlong memang ada ramai kenalan di Pontian dan dia juga disegani oleh kenalannya. Waktu petang selepas ziarah kenalannya Ayahlong ajak aku makan seafood di Kukup. Aku tengok semua restoran kat situ restoran Cina tapi Ayahlong macam tahu je aku ni was-was. Sini semua halal, kata Ayahlong. Jabatan Agama Islam dah sahkan, katanya lagi. Kemudian Ayahlong order mee goring (macam mee lecak) dan udang goring. Apabila makanan dihidang, aku cakap banyaknya. Mee dan udang dihidang dalam dua pinggan hidang. Walaupun Ayahlong gemuk dia makan tak banyak. Aku rasa Ayahlong cuma makan dua ekor udang aje, yang lain (dalam 10 ekor aku belasah). Lepas tu makan mee pulak. Perrrgh…. kenyang.

Semakin Ayahlong meningkat usianya, ayahlong semakin kurang garangnya tetapi semakin sensitif. Aku pernah tengok Ayahlong merajuk sambil menangis apabila Mak Ngah menegur Ayahlong supaya menjaga kesihatan dan jangan makan daging berlebihan. Orang semua sayangkan abang, kata Mak Ngah. Ayahlong pun cakap, biar mati, makan jangan mati tak makan.

Ayahlong pernah bercerita kepadaku yang Ayahlong mula bekerja ketika berusia 12 tahun kerana mahu membantu Tok Abah. Selama bertahun-tahun Ayahlong telah membantu Tok Abah rasanya saya tak pernah dengar Ayahlong mengungkit tentang sumbangannya itu. Dan satu lagi jasanya terutama kepada Pak Jak ialah dengan menjodohkan Pak Jak dan Mak Jak.

Saya rasa selain daripada Pok Su, Allahyarham Mazlan Bin Haji Mohamad juga layak kita anugerahkan dengan anugerah yang sepatutnya. Al-Fatihah……

Catatan diatas adalah berdasarkan pengalaman saya bersama Ayahlong. Mungkin ada lagi pengalaman yang lebih menarik beliau tetapi tidak terlintas diingatan diketika ini. Mungkin anak-anak saudara yang lain boleh berkongsi kenangan ketika bersama Ayahlong suatu masa dahulu.


foto dari blog Pokde

No comments:

Post a Comment