Saturday, August 15, 2009

Tinggalkan Perdebatan

Maka telah berkata guru kami Al Fadhil Ustaz Mat Esa Deraman.....
Sifat manusia yang suka kepada perbalahan diwarisi sejak zaman berzaman. Semenjak zaman Habil dan Qabil pertengkaran telah wujud kerana merebut seorang wanita. Bahkan lebih awal daripada itu apabila iblis -semoga Allah melaknatinya- mengisytiharkan perbalahan dengan Adam a.s. Islam agama yang cintakan keamanan dalam semua aspek. Menekankan persoalan persaudaran sebagai tonggak dan asas utama. Persaudaraan yang dibina mestilah dengan tali allah yang tidak akan putus selama-lamanya. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 113.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Mengelakkan perbalahan walaupun berada dipihak yang benar merupakan satu kemulian dan akhlak yang cukup tinggi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Perbalahan hanya melahirkan sifat sombong dan kedengkian yang berpanjangan. Amat malang kalau ajaran agama yang bersifat penyatuan menjadi sebab perbalahan yang memutuskan ukhuwwah yang sudah sedia terjalin dengan keimanan kepada Allah. Adakah kita sanggup berbalah pada perkara-perkara yang bersifat cabang (furu') seperti masalah zikir selepas solat, doa, membaca talqin dan hal-hal yang lain?

Abu Umamah Al-Bahili meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w bersabda:
Aku menjadi penjamin bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun dia dipihak yang benar dengan istana di dalam syurga. Dan aku juga menjamin istana di syurga kepada orang meninggalkan pembohongan walaupun dalam gurauan. Dan penjamin istana di syurga bagi orang yang baik akhlaknya. (Riwayat Abu Daud)

Apakah belum sampai masanya untuk kita mencari titik bersefahaman dan penyatuan yang mulia ini. Ya Allah! Permudahkan urusan umat ini. Amin

No comments:

Post a Comment